10 warga emas korban terbaharu COVID-19 hari ini

73

1 FEB : Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 10 warga emas berusia 61 hingga 80 tahun termasuk dua wanita dan lapan lelaki, menjadi korban terbaharu jangkitan virus COVID-19 di Malaysia dalam tempoh 24 jam lalu.

Dengan pertambahan 10 kes kematian tersebut, ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meninggal akibat virus COVID-19 di Malaysia sehingga hari ini adalah sebanyak 770 orang atau bersamaan 0.35 peratus.

Kebanyakan kes meninggal dunia hari ini adalah membabitkan individu yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis,jantung, obesiti serta penyakit hati yang kronik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya juga mengesahkan sebanyak 4,214 kes kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya ialah sebanyak 219,173 kes termasuk 48,074 kes aktif dengan kebolehjangkitan.

Kata beliau, dengan pertambahan 4,280 kes jumlah kes sembuh hari ini menjadikan kes sembuh sepenuhnya kepada 170,329 kes kumulatif atau 77.7 peratus.

“Daripada 4,214 kes baharu hari ini, sebanyak 4,205 kes membabitkan jangkitan tempatan (2,645 rakyat tempatan dan 1,560 warga asing) manakala sembilan kes lagi adalah kes import iaitu lapan warganegara dan satu bukan warganegara.

“KKM juga ingin memaklumkan bahawa terdapat 316 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 137 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal sebagai negeri mencatatkan kes positif harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,362 kes atau 32.3 peratus.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 967 kes (71.0 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan; diikuti oleh Johor sebanyak 1,068 kes (25.3 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 702 kes (16.7peratus).

“Sebanyak 115 kes (2.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Taiping (81 kes), Kluster Tembok Renggam (25 kes), Kluster Tembok Mempaga (7 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes), dan Kluster Tembok Kemus (1 kes).

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes di Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Selangor, Perak, Melaka, dan Terengganu.

“Semua kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.-Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.