Song, Kapit bawah PKP berkuat kuasa 2 Februari

79

31 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di Song dan Kapit, Sarawak mulai 2 hingga 15 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, langkah itu diambil berikutan terdapat peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di daerah Song yang sebelumnya merupakan Zon Hijau dengan 93 kes telah direkodkan. Manakala di daerah Kapit, kes telah meningkat dari tiada kes kepada 31 kes positif.

“Kedua-dua daerah ini menunjukkan peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh 14 hari dengan kadar keberjangkitan yang tinggi,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri
ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam, Johor dan Kuarters Kakitangan Kluang, Johor, bermula esok.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan situasi peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan.

“Sehingga 29 Januari 2021, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 198 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 108 kes positif COVID-19 telah direkodkan yang melibatkan 100 tahanan, enam kakitangan dan dua kontak rapat .

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan, Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan bermula 1 sehingga 14 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti,” jelasnya.

Tambah beliau, SOP PKPD di penjara juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.