Segera adili pasangan dera anak sampai mati

104

31 JAN: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap sepasang suami isteri yang disyaki mendera dan membunuh anak mereka yang berusia tujuh tahun, kelmarin.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelaku perbuatan ini perlu dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera sekali gus dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius kes seperti ini kerana keluarga sepatutnya menjadi tempat berlindung namun malang ia berlaku sebaliknya.

NORAINI AHMAD
NORAINI AHMAD

“Wanita UMNO menzahirkan rasa hiba dan simpati di atas kes kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun akibat didera di Melaka pada Jumaat lepas.

“Lebih mengecewakan apabila dilaporkan pelaku adalah ibu kandung dan bapa tiri mangsa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, kanak-kanak tersebut yang dipercayai didera oleh bapa tiri dan ibu kandungnya itu ditemukan di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka dengan kesan cedera dan lebam di beberapa anggota badan, Jumaat lalu.

Polis telah menahan ibu kandung dan bapa tiri mangsa masing-masing berusia 32 dan 38 tahun serta direman sehingga 5 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Noraini yang juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi memberitahu pihaknya mengharapkan agar kerajaan dan pihak yang berkaitan melihat tahap kesihatan mental orang ramai yang sedikit sebanyak terkesan akibat daripada pandemik COVID-19.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penderaan kanak-kanak yang melibatkan ibu bapa mencatatkan peningkatan sehingga 20 peratus sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak Mac tahun lalu.

“Kes-kes yang berlaku seperti ini menunjukkan tahap mental orang ramai yang semakin terganggu sehingga sanggup melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya terhadap kanak-kanak.

“Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga agar perkara seperti ini dapat diatasi,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.