PRU-15: Calon PN mesti bebas salah laku rasuah

119

31 JAN: Perikatan Nasional (PN) haruslah memilih individu bebas daripada kes salah laku rasuah sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pemuda PN, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, calon PN perlulah dilihat berintegriti serta mudah diterima rakyat.

“Kami mencadangkan agar PN hanya menampilkan calon-calon yang bebas daripada kes salah laku atau rasuah dalam PRU-15 akan datang.

“PN mestilah bersedia untuk mengetengahkan calon-calon yang berintegriti, kompeten, bersih dan mesra rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

khairil nizam khirudin
KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Beliau berkata demikian bagi mengulas penurunan kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah (CPI) antarabangsa pada 2020 yang dikeluarkan Transparency International, baru-baru ini.

Khairil Nizam yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS memberitahu, walaupun skor CPI itu hanyalah persepsi namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil perhatian yang serius dalam agenda mengatasi masalah gejala rasuah di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM mestilah fokus kepada usaha-usaha membanteras secara tegas dalam isu kes rasuah negara sama ada dalam kes telah berlaku, sedang berlaku atau kes bakal berlaku melalui prinsip kedaulatan undang-undang sebenar.

”Inisiatif Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyerahkan senarai anggota Kabinet untuk tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM adalah permulaan yang baik ke arah pentadbiran kerajaan yang berintegriti serta bersih caripada sebarang kes PDRM dan SPRM.

“Kami mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas ketegasan pihak kerajaan yang tidak melepaskan mana-mana individu atau ahli politik yang sedang terlibat di dalam perbicaraan kes mahkamah serta tidak memberikan kepada mereka apa-apa tanggungjawab daripada kerajaan sama ada dalam penjawatan politik, agensi-agensi kerajaan atau lantikan GLC,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.