Dana IPG RM300 juta, meningkat 100 peratus

96

31 JAN: Kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM300 juta bagi Program Insentif Pengeluaran Getah (IPG) tahun ini, pertambahan sebanyak 100 peratus berbanding peruntukan RM150 juta tahun lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata program tersebut di samping penggunaan aplikasi RRIMniaga merupakan inisiatif bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah serta memastikan aktiviti pengeluaran produk komoditi itu diteruskan, di samping menstabilkan pendapatan pekebun kecil.

Menurut beliau, peratusan pekebun kecil menuntut IPG dijangka akan meningkat pada tahun ini dengan penggunaan aplikasi RRIMniaga oleh peraih/pembeli getah yang telah diwajibkan mulai 1 Januari 2021.

khairuddin aman razali
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

“Aplikasi ini membolehkan IPG disalurkan terus kepada pekebun kecil tanpa proses permohonan manual.

“Sepanjang tahun 2020, sebanyak 30.16 peratus daripada keseluruhan pekebun kecil yang memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) telah menuntut IPG,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin memberitahu peratusan pekebun yang aktif mengemukakan tuntutan adalah seramai 135,632 dari keseluruhan 495,296 pemegang kad PAT-G yang membabitkan kebun getah seluas 294,095.79 hektar.

“Dengan bantuan IPG, anggaran pendapatan pekebun kecil diunjur meningkat sebanyak 25 peratus daripada RM933 kepada RM1,167 sebulan.

“Ini berdasarkan kepada purata pemilikan kebun seluas dua hektar dan harga getah cuplump di ladang sebanyak RM2 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) terus komited di dalam usaha meringankan beban lebih 450,000 pekebun kecil getah terutama semasa keadaan ekonomi yang mencabar pada tahun lalu dan impak wabak COVID-19 yang masih menular sehingga kini.

“Kerajaan tidak pernah berhenti malah akan terus membantu golongan pekebun kecil ini khususnya dalam keadaan
harga pasaran getah rendah.

“Diharapkan dengan usaha kerajaan ini, kesan ekonomi semasa dan wabak COVID-19 kepada pendapatan pekebun kecil getah dapat dikurangkan, sekaligus menjaga kesejahteraan mereka yang merupakan akar umbi industri getah Malaysia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.