Buang stigma, diskriminasi terhadap pesakit kusta

61

31 JAN: Rakyat harus sentiasa berusaha bagi membasmi atau menipiskan stigma serta diskriminasi yang diyakini menjadi salah satu punca kepada penularan kusta dalam kalangan keluarga dan komuniti di lokaliti endemik di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata stigma dan diskriminasi antara permasalahan dikesan masih dihadapi pesakit kusta yang akhirnya menyumbang kepada penularan penyakit itu dalam komuniti.

“Stigma dan diskriminasi adalah antara permasalahan yang masih dihadapi oleh pesakit dan keluarga mereka.

“Lantas daripada keadaan tersebut, pesakit dan kontak rapat mereka bukan sahaja enggan kelihatan hadir di klinik, malah enggan disaring dan diberi rawatan untuk penyakit Kusta,” katanya menerusi kenyataan media sempena Hari Kusta Sedunia, hari ini.

Justeru itu, Dr Noor Hisham menyeru setiap anggota kesihatan dan pemimpin masyarakat untuk melibatkan diri di dalam mewujudkan kesedaran mengenai penyakit Kusta khusus kepada komuniti di lokaliti endemik yang berisiko tinggi.

“Kegiatan advokasi yang diiringi aktiviti pengukuhan diagnostik, rawatan, latihan dan kebajikan pesakit akan menjadikan kawalan Kusta lebih mantap dan lengkap.

“Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk memperkukuhkan semua aktiviti kawalan dan pencegahan dalam setiap aspek di bawah Program Kawalan Kusta Kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Malaysia telah mencapai tahap eliminasi Kusta pada tahun 1994 iaitu dengan kadar prevalen 0.9 kes bagi setiap 10,000 penduduk. Untuk rujukan, sasaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kurang dari 1 kes bagi setiap 10,000 penduduk.

Menurut beliau, berdasarkan pencapaian lima tahun, Malaysia melaporkan 198 – 213 kes baharu dengan kadar insiden kes Kusta di antara 0.57 – 0.62 kes bagi setiap 100,000 penduduk dan kadar prevalen di antara 0.02 – 0.14 kes bagi setiap 10,000 penduduk. Kontak rapat Kusta khususnya dalam kalangan kanak-kanak adalah di antara golongan yang berisiko dan perlu diberi perhatian.

kusta

“Penekanan terhadap pengesanan kes secara aktif (active case detection) dalam kalangan golongan berisiko di lokaliti endemik adalah fokus utama di dalam kawalan dan pencegahan Kusta di Malaysia.

“Sasaran untuk meningkatkan pengesanan adalah bertujuan untuk mengurangkan beban dan penularan kusta di dalam komuniti yang berisiko melalui pemberian rawatan dan mengurangkan kejadian kecacatan kekal akibat Kusta.

“Komuniti dan individu yang dibebani Kusta perlu bekerjasama dengan mematuhi arahan yang diberi oleh anggota kesihatan terutama di dalam menjalani aktiviti saringan dan rawatan susulan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.