Agong nasihat rakyat terus tenang hadapi PKP, Darurat

40

31 JAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, rakyat perlu terus bertenang, tabah dan cekal menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Pelaksanaan Proklamasi Darurat demi kepentingan dan keselamatan diri serta negara.

Dalam pelaksanaan PKP, Seri Paduka amat memahami cabaran yang dihadapi, khususnya aktiviti ekonomi harian rakyat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam kenyataan media sempena hari Wilayah Persekutuan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.

“Memandangkan situasi wabak di negara ini berada di tahap kritikal, Seri Paduka menzahirkan harapan agar rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” jelas kenyataan itu.

Seri Paduka turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan rakyat walaupun berada dalam situasi yang sukar.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kesyukuran kerana krisis akibat pandemik COVID-19 dapat ditangani dan diperangi kerana keprihatinan semua pihak.

“Semangat keprihatinan ini amat terserlah melalui usaha-usaha para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus siang dan malam membendung wabak COVID-19.

“Ia juga terserlah melalui usaha-usaha murni kerajaan dan para sukarelawan membantu golongan yang memerlukan serta juga melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh rakyat jelata,” titah Seri Paduka.

Sesuai dengan tema Hari Wilayah Persekutuan tahun ini iaitu Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin, Seri Paduka menyeru rakyat untuk menghayati semangat patriotisme dan cintakan Wilayah Persekutuan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain.

Seri Paduka bertitah, konsep Prihatin bukan sekadar slogan sahaja tetapi merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaian.

“Prihatinlah terhadap keluarga kita, sahabat kita, jiran kita, pekerja kita dan semua insan yang berada di sekeliling kita,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat juga perlu prihatin terhadap tanah air dengan menjaga keharmonian, mempertahankan keamanan dan memelihara kesejateraannya.

“Insya-Allah, Wilayah Persekutuan dan negara yang tercinta ini akan kekal merdeka, bebas dan berdaulat selama-lamanya,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka turut mengambil kesempatan mengajak rakyat bersama-sama mendoakan negara khususnya Wilayah Persekutuan bertambah makmur dan terus meningkat maju serta sentiasa dalam perlindungan dari sebarang musibah dan malapetaka.

Al-Sultan Abdullah dimaklumkan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi program Wilayah Prihatin telah menyediakan pelbagai inisiatif kepada warganya yang terkesan akibat ancaman COVID-19.

Selaras dengan semangat ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’, inisiatif-inisiatif tersebut membantu golongan terbabit tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Seri Paduka turut maklum bahawa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya merupakan nadi yang menjana pertumbuhan negara yang dapat dilihat menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 yang menunjukkan sumbangan Wilayah Persekutuan kepada ekonomi negara adalah sebanyak 13.5 peratus.

“Angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila rakyat mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi, kediaman yang selesa, pendidikan yang sempurna, kesihatan yang baik, alam sekitar yang lestari dan keselamatan yang sentiasa terpelihara untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan sejahtera,” titah Seri Paduka.

Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong menasihatkan rakyat supaya menunaikan tanggungjawab sosal dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi memastikan keharmonian terpelihara dan kekal berpanjangan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.