578 individu polis ditahan ingkar arahan PKP

45

31 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 578 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 525 individu dikompaun manakala 53 orang pula direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (108), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (90), tidak memakai pelitup muka (78), aktiviti pusat hiburan (68), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (56), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (51), dan lain-lain (127).

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan. Kawalan Sempadan Negara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas sebuah kenderaan darat dan sebuah bot.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 15, 099 operasi sanitasi awam merangkumi 146 zon dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

“Semalam sebanyak 73 operasi sanitasi telah dilaksanakan meliputi 36 Zon Merah, dua (2) Zon Jingga dan empat (4) Zon Kuning telah dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 113,844 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 77 hotel dan 13 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Sehingga kini, seramai 105,278 orang dibenarkan pulang manakala 477 lagi telah dibawa ke hospital,” katanya.

Berhubung saringan pekerja warga asing, Ismail berkata seramai 8,028 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 47 orang disahkan positif COVID-19.

Secara kumulatifnya, tambah beliau, sejak 1 Disember 2020, seramai 259,129 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 10,741 majikan.

“Daripada jumlah ini seramai 4,782 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 254,347 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 890 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.

“Ia selari dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.