‘Ultraman’ sertai misi bantuan mangsa banjir

71

30 JAN : Salah seorang peserta misi bantuan banjir badan bukan kerajaan (NGO), Muhammad Syukur Mohd Patthi, 27, akan memakai kostum adiwira Ultraman sepanjang misi bantuan mangsa banjir selama tiga hari di Pahang.

Muhammad Syukur yang mewakili Persatuan Geng Superhero Penang (GSP) berkata, itu merupakan salah satu cara untuk menghiburkan orang ramai dan mangsa banjir yang sedang berada dalam kesusahan.

Beliau merupakan salah seorang peserta diantara 20 peserta dari badan bukan kerajaan (NGO) menyertai misi bantuan dengan membawa bersama karakter adiwira Ultraman untuk membantu mangsa banjir, di Pahang selama tiga hari, mulai Jumaat.

Ketua ekspedisi Amir Ghazali, 48, berkata misi dengan kerjasama NGO antaranya Jalinan Muhibah, Yayasan Aman, Sinar Harapan dan persatuan Geng Superhero Penang (GSP) itu, membawa kira-kira satu tan metrik barangan bantuan seperti keperluan dapur, tilam, selimut, baju, tuala wanita, susu formula, lampin pakai buang serta alat dan cecair pencuci.

Misi yang majoritinya disertai belia dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu bertolak ke Kuantan, Pahang lewat malam tadi, merupakan program kedua diadakan selepas misi pertama, dua minggu lepas.

“Kesemua bantuan ini telah disumbangkan oleh penduduk Permatang Pauh kepada mangsa-mangsa banjir di sana (Pahang) malah, kita masih menerima sumbangan ketika ini. Kita telah mendapat kebenaran pihak berkuasa dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk misi kali ini,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada golongan muda dalam misi kemanusiaan sebelum ini dan berpendapat ia antara pendekatan terbaik dalam membina jati diri bangsa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.