Sudah sampai masanya nilai kompaun dinaikkan – PDRM

71

30 JAN : Ekoran beribu saman yang dikeluarkan pihak berkuasa setiap minggu disebabkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpandangan sudah sampai masanya nilai kompaun ingkar SOP dinaikkan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sekiranya kompaun RM1,000 itu dianggap kecil maka golongan degil melanggar SOP ini, mereka pasti akan menerima padah apabila arahan menaikkan nilai kompaun ini diwartakan.

“Setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

“Lebih memburukkan lagi keadaan apabila ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa alasan yang kukuh. 

“Jika mereka rasakan kompaun RM1,000 itu kecil maka sudah tiba masanya untuk kerajaan menaikkan nilai kompaun itu sebagai peringatan buat golongan ini,” katanya.

Anggota polis menurut Abdul Hamid, telah diarahkan untuk mengeluarkan saman kepada mereka yang ingkar tanpa memberi ruang lagi untuk dilepaskan dengan amaran.

Beliau turut meluahkan rasa sedih berikutan sepanjang menjalankan tugas ketika PKP dilaksanakan, seramai 474 warga PDRM positif COVID-19 manakala 1,628 lagi telah menjalani kuarantin akibat jangkitan virus tersebut.

“Amat menyedihkan apabila petugas barisan hadapan yang dijangkiti ini terpaksa dirawat oleh satu kelompok lagi petugas barisan hadapan di hospital,” katanya. 

Penularan COVID-19 di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak ketika ini, dengan jumlah kes harian baharu menghampiri 6,000 apabila sebanyak 5,725 kes dilaporkan semalam dan hari ini pula 5,728 kes dicatatkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.