Singapura gantung peraturan RGL dengan tiga negara

71

30 JAN : Kementerian Luar (MFA) Singapura hari ini mengumumkan peraturan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan tiga negara, iaitu Jerman, Korea Selatan dan Malaysia digantung selama tiga bulan mulai 1 Feb ini.

MFA dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Singapura akan mengkaji semula peraturan RGL pada penghujung tempoh penggantungan.

Bagaimanapun, MFA memaklumkan pelawat yang sudah diluluskan untuk memasuki Singapura di bawah peraturan itu boleh terus berbuat demikian.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Singapura akan terus memantau situasi global dan menyesuaikan langkah sekatan sempadannya bagi menangani risiko kes import Covid-19 dan penularan jangkitan kepada komuniti kata kementerian itu lagi.

“Sebarang perubahan pada langkah sekatan sempadan akan dikemas kini di laman web SafeTravel dan pelawat disaran melayari laman web itu untuk mengetahui langkah terkini.

“Selain tiga negara berkenaan, Singapura turut melaksanakan peraturan RGL dengan Brunei, Indonesia, Jepun dan enam wilayah di China,” jelasnya.

RGL bertujuan memudahkan perjalanan merentas sempadan bagi jangka pendek untuk tujuan perniagaan penting dan perjalanan rasmi.

Setakat semalam, Singapura melaporkan 59,449 kes positif Covid-19 dengan 2,628 daripadanya kes import, 2,313 kes dalam komuniti dan 54,508 melibatkan penghuni asrama.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.