PKP : 21 individu direman, 404 dikompaun langgar SOP

66

30 JAN: Seramai 404 individu dikompaun, 21 lagi direman manakala satu orang dijamin selepas ditahan polis kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri berkata antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (93), tidak memakai pelitup muka (88), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (81), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (40).

Selain itu, Ismail Sabri berkata 24 kes lagi membabitkan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran, makan dan minum di premis tanpa kebenaran (20), mengadakan majlis tanpa kebenaran (6) dan lain-lain (74).

Sementara itu, berkenaan Ops Benteng pula, Ismail berkata pihak berkuasa juga menahan 23 pendatang tanpa izin (PATI), merampas lima kenderaan darat dan dua buah kapal/bot dalam Ops Benteng di seluruh negara, semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 164 bot/kapal di perairan negara melalui lima (5) aktiviti penglihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memaklumkan seramai 931 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara, semalam.

“Sejak 24 April 2020, seramai 112,941 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan 13 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara. Sehingga kini, seramai 104,706 orang dibenarkan pulang manakala 477 lagi telah dibawa ke hospital.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 8,601 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 133 orang disahkan positif COVID-19.

“Secara kumulatifnya, sejak 1 Disember 2020, seramai 251,101 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 10,500 majikan.

“Daripada jumlah ini seramai 4,735 orang telah disahkan positif COVID19 manakala 246,366 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 887 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.