Pekerja asing wajib jalani saringan COVID-19 berkuatkuasa 1 Feb

105

30 JAN: Kerajaan akan mewajibkan semua pekerja asing di seluruh negara menjalani ujian saringan COVID-19 berkuatkuasa mulai 1 Februari ini.  

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tindakan itu selari dengan langkah kementerian memperluaskan skop Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing ke seluruh negara bermula 2 Februari 2021 berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) .

Saravanan berkata program berkenaan akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama klinik-klinik swasta di seluruh negara.

Katanya lagi, senarai klinik yang menawarkan saringan COVID-19 di bawah program ini boleh didapati di portal Program Saringan Prihatin (https://psp.perkeso.gov.my).

“Ujian saringan ini menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di mana kos bagi kit ujian dibiayai oleh PERKESO.

“Majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital. PERKESO telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM54 juta bagi peluasan skop saringan ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata bagi pekerja asing yang bukan pencarum PERKESO, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

Beliau berkata, keperluan menjalani saringan COVID-19 ini diwajibkan oleh kerajaan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan akan dipantau oleh KSM.

Maklumat lanjut berkenaan program ini termasuk senarai klinik akan dikemaskini di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my) dari semasa ke
semasa. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.