Majikan sembunyi pekerja positif punca kes naik mendadak

909

30 JAN: Tindakan majikan atau pengilang menyembunyikan kes positif di kalangan pekerja mereka menjadi antara punca utama peningkat COVID-19 sehingga mencecah melebih 3,000 kes, semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata perkara itu didedahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam Mesyuarat  Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan COVID-19 Negeri Selangor di Shah Alam, malam tadi.

Amirudin berkata, antaranya faktor menyumbang kepada peningkat kes COVID-19 di Selangor ialah kes kumulatif (backlog cases) dari saringan pekerja kilang, saringan di penjara serta saringan di klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus ataupun ‘real time’.

Bagi mengatasi masalah ini pihak JKNS akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari yang sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“Mesyuarat  berkenaan juga mengenal pasti kilang-kilang di seluruh Selangor sebagai kawasan utama perebakan wabak. Oleh itu, kerajaan negeri akan melaksanakan Program ‘Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS). POIS adalah program saringan di semua kilang dan tempat kerja yang berpotensi mencipta kluster dan perebakan.

“Tindakan ini bagi memutuskan rantaian serta mengelakkan kluster di tempat kerja. POIS akan dilaksanakan dengan kerjasama JKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FFM),” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas dan menutup kilang yang menyembunyikan kes positif di kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama untuk aktiviti pengesanan kontak rapat bagi mengelakkan tercetus kluster baru di premise berkenaan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata mesyuarat berkenaan juga membincangkan cadangan untuk menambah Pusat Penilaian COVID-19 terutama di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak.

“Penubuhan CAC pentinga bagi menganalisa pesakit COVID-19 bagi dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum dibawa ke pusat kuarantin ataupun hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata JKNS turut memaklumkan bahawa Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang telah ditambah fasiliti dan mampu menampung tambahan 6,000 orang pesakit.

“Saya menyeru semua rakyat untuk bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 ini dengan mengamalkan pematuhan SOP. Kekal konsisten memakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal.

“Selangor tanggungjawab kita. Hanya dengan semangat kekitaan ini sahaja yang akan dapat memutuskan rantaian wabak ini,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.