Kebenaran operasi sektor perhutanan tingkat ekonomi negara

48

30 JAN: Keputusan kerajaan membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaiannya beroperasi mulai hari ini, ternyata memberi kelegaan kepada industri perkayuan terutamanya sektor perabot di seluruh negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, keputusan berkenaan juga memberi manfaat kepada mangsa-mangsa banjir bagi memperoleh bekalan perabot mereka yang musnah akibat bencana berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata kebenaran berkenaan juga membolehkan sektor perkayuan untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Langkah ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi kepada sektor perkayuan di peringkat pemprosesan serta penghasilan produk primer dan hiliran.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa semua pihak terbabit mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan kebenaran ini ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk rekod, sektor perabot dianggarkan menggunakan 85 peratus bahan mentah tempatan untuk menghasilkan perabot.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata pihak industri perlu memastikan segala peraturan dan undang-undang Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipenuhi.

Beliau berkata ini melibatkan penyediaan kemudahan kediaman bagi pekerja supaya dapat menyokong usaha kerajaan mengurangkan penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja.

“Harapan KPPK ialah sektor perkayuan dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara walaupun dalam situasi yang sukar ketika ini demi kemakmuran pembangunan negara.

“Perdagangan sektor perkayuan bagi tempoh Januari hingga November 2020 masih menunjukkan prestasi yang baik dengan nilai eksport berjumlahRM19.8 bilion meskipun berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.