Jumat Idris dilantik Penolong Setiausaha UMNO Sabah

120

30 JAN : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini menerusi satu kenyataan mengesahkan bekas Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris dilantik sebagai Penolong Setiausaha UMNO Sabah berkuat kuasa semalam.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, Jumat adalah calon yang sesuai menggalas tugas tersebut bagi membantu melicinkan tugas Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin yang juga Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

“Saya yakin beliau (Jumat) mampu menggalas tugas ini berdasarkan pengalaman beliau yang telah lama berjuang bersama parti sejak awal penubuhan UMNO di Sabah,” katanya dalam kenyataan itu.

Majlis penyerahan watikah pelantikan disampaikan Bung Moktar kepada Jumat pada satu majlis ringkas di sini semalam.

Dalam kenyataan sama, Jumat berkata jawatan itu adalah satu amanah besar yang perlu dilaksanakan bagi membantu melicinkan urus takbir UMNO Sabah dan berbekalkan pengalaman serta kerjasama rakan parti,  beliau berharap dapat menggalas tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin.

Jumat yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Sepanggar dilantik ke jawatan itu setelah penyandangnya Awang Aslee Lakat dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, ekoran perletakan jawatan penyandangnya Datuk Kadzim M Yahya yang dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Oktober tahun lepas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.