Bantuan RM700,000 kepada golongan memerlukan di Sarawak

46

30 JAN : Bantuan bernilai RM700,000 disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), melalui agensinya, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada golongan yang memerlukan di Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebanyak RM402,500 diberikan SKM dalam bentuk wang tunai dan lain-lain kepada penerima.

“Bantuan tersebut merangkumi RM22,500 kepada 300 mangsa banjir; RM47,000 kepada koperasi yang terjejas akibat banjir serta RM333,000 kepada Program Peningkatan Koperasi (CEP).

“CEP merupakan inisiatif MEDAC dalam membantu koperasi yang berpotensi untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka selepas terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Bank Rakyat telah menyumbangkan kelengkapan persekolahan bernilai RM112,000 kepada 700 pelajar kurang berkemampuan di Sarawak.

“Ini adalah sebahagian usaha tanggungjawab sosial korporat ‘Kembali ke Sekolah’ di seluruh negara, dengan RM1 juta diperuntukkan untuk membantu menyediakan peralatan sekolah, termasuk pakaian seragam kepada 6,000 pelajar di seluruh negara,” katanya.

Wan Junaidi berkata bank itu dan anak syarikatnya, Zakat Rakyat Holdings turut menyumbangkan zakat masing-masing bernilai RM21,500 dan RM154,350 untuk lebih 1,000 keluarga asnaf di kawasan Parlimen Santubong.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.