Ubah suai bangunan usang lebih 40 tahun sekitar KL

75

29 JAN: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sudah mengenal pasti lokasi yang akan dilakukan pembaharuan terutama membabitkan kawasan perumahan awam dan swasta yang akan diubah suai dan dinaik taraf dengan suasana lebih kondusif.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, pihaknya akan melakukan pembaharuan besar-besaran persekitaran di Bandaraya Kuala Lumpur supaya ia menjadi ibu kota yang maju dan menarik.


“Kementerian akan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai bangunan dan kediaman usang berusia melebihi 40 tahun.

“Program ini akan dilaksanakan secara komprehensif dan holistik ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang indah dan selesa, bersesuaian dengan kedudukannya sebagai ibu negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Kuala Lumpur, secara maya menerusi laman Facebook kementeriannya hari ini.
 

Menurut Annuar, kawasan bangunan usang, tempat tinggal seperti PPR akan dirobohkan dan pemilik-pemilik unit-unit itu akan diberikan unit percuma, lebih selesa, dengan harga RM200,000 seunit.

Dalam pada itu Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kementerian itu yakin rancangan itu akan berjaya dilaksanakan bagi menjadikan Kuala Lumpur satu lokasi yang kondusif dan berdaya huni.

“Semua pihak perlu kreatif, sedia bekerjasama dengan swasta dan tidak seharusnya menunggu peruntukan kerajaan kerana ia agak terbatas bagi memastikan projek terbabit dapat direalisasikan.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan terbiar dan lombong yang akan dibangunkan sebagai projek kepentingan awam.

“Kementerian juga akan membangunkan tujuh projek tasik untuk dijadikan sebagai kawasan hijau memandangkan ia semakin berkurangan di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.