Tiada lagi kes positif, dua lokasi PKPD ditamatkan

38

29 JAN: Kerajaan hari ini mengumumkan penamatan dua Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar, Johor dan Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC) di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA), Taiping, Perak, ditamatkan hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada lagi kes positif baharu dilaporkan berlaku di kawasan terbabit.

Malah, Ismail Sabri berkata sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2258 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 1837 kes positif COVID19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan kesemua kes positif yang dimasukkan ke wad dan isolasi di PKRC telah sembuh sepenuhnya dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara berkuat kuasa mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata penamatan PKPD di Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC) di KEMTA selepas KKM mengesahkan kesemua tahanan yang ditempatkan di situ telah sembuh serta telah discaj dari PKRC dan tiada lagi kes positif baharu yang dilaporkan.

Ismail Sabri Yaakob



Dalam perkembang lain, Ismail Sabri mengesahkan sehingga kini seramai 4,602 pekerja asing di Malaysia disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan, sejak 1 Disember lalu.

Ismail Sabri berkata mereka adalah sebahagian daripada seramai 242,500 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 10,051 majikan, sejak 1 Disember lalu.

“Daripada jumlah 242,500 pekerja asing berkenaan seramai 4,602 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 237,898 lagi adalah negatif.

“Malah, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, 116 daripada 7,217 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan, semalam, disahkan positif COVID-19.

“Sehingga kini juga, sebanyak 887 buah klinik telah terlibat dengan program saringan selari dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga
asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, WP Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya.- Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.