SPRM kaji cadangan Transparency International-Malaysia

26

29 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia meneliti dan mengkaji cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) dalam usaha memerangi jenayah rasuah di negara ini.

Menurut SPRM, perkara itu membabitkan mana-mana cadangan berkaitan atau bawah bidang kuasa suruhanjaya itu bagi menyumbang kepada skor lebih baik bagi Malaysia pada masa akan datang.

“SPRM mengambil maklum berhubung kedudukan dan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 seperti diumumkan oleh TI-M semalam.

“Kita akan meneliti dan mengkaji cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh TI-M dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini,” kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, SPRM menyambut baik maklum balas positif berhubung CPI 2020 berkaitan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM serta siasatan kes berprofil tinggi yang sedang berjalan.

Malaysia jatuh enam anak tangga kepada kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 negara dalam CPI 2020 yang dikeluarkan Transparency International (TI).

Kali ini, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor 53 pada 2019, berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara dengan mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.