Semoga perjuangan bapa Adib disegerakan – Zahid

41

29 JAN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan agar segala usaha dan perjuangan bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan dapat disegerakan.

Beliau berkata, rayuan bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid akan didengar pada 28 Mei ini yang memfailkan permohonan ex parte untuk perintah komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kerana didakwa menghina mahkamah apabila memfailkan afidavit dari Pejabat Peguam Negara pada 3 April 2019.

“Afidavit itu dilaporkan mendakwa kematian anaknya bukan akibat kecederaan dialami Adib.

“Semoga segala usaha dan perjuangan ayah arwah wira negara ni dapat disegerakan.

“Ini kerana telah tertangguh sekian lama serta pembelaan atas kematian arwah dapat diberikan keadilan yang sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, malam tadi.

AHMAD ZAHID HAMIDI
AHMAD ZAHID HAMIDI

Rabu lalu, peguam, Aidil Khalid yang mewakili bapa Mohd Kassim Abdul Hamid memberitahu Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Beliau berkata, rayuan silang dikemukakan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sama ada Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan mengenai prosiding komital juga akan didengar pada tarikh sama.

Mohd Kassim memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas pada 16 Julai 2019 di Mahkamah Koroner Shah Alam atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Mahkamah Koroner membenarkan permohonan itu dan Thomas kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Thomas atas alasan Mahkamah Koroner telah terkhilaf ketika membenarkan prosiding komital dimulakan terhadapnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.