Pengurusan kondo boleh buat saringan warga asing

60

29 JAN: Biarpun tiada peraturan khusus, kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan untuk membuat peraturan menjalankan ujian calitan COVID-19 terhadap warga asing bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan mereka.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkat, semuanya terpulang kepada pihak pengurusan kondominium atau mana-mana kawasan perumahan untuk menjalankan ujian itu atau tidak.

Beliau berkata, kondominium dan apartmen tertutup adalah kawasan persendirian yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

Malah mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat masuk ke kawasan kondominium mereka tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Di Sarawak misalnya, ada kawasan rumah panjang yang tidak membenarkan orang luar memasuki rumah-rumah panjang bagi menjaga keselamatan penduduk,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas isu tular berkaitan soalan dalam sidang media semalam berhubung syarat yang dikenakan oleh pengurusan kondominium yang mengarahkan penyewa warga asing melakukan ujian calitan COVID-19.

“Saya dapati banyak pihak yang salah faham termasuk ahli politik yang cuba memanipulasi jawapan saya. Malah terdapat persatuan seperti Institut Kemudahan dan Hartanah Malaysia (MIPFM), Institusi Diraja Juruukur Malaysia (RISM) serta Persatuan Penilai, Pengurus Hartanah, Ejen Hartanah dan Perunding Hartanah bagi Sektor Swasta Malaysia (PEPS) yang mengeluarkan kenyataan balas kerana mendapat maklumat yang tidak tepat.

“Ingin saya jelaskan dengan lebih lanjut, sebenarnya ia adalah berkaitan penyewa warga asing dan bukannya rakyat tempatan. Malah saya telah jelaskan bahawa tiada polisi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengatakan sesiapa yang ingin masuk ke dalam kondominium atau mana-mana kawasan perumahan mesti dibuat ujian saringan terlebih dahulu,” katanya.

Berhubung penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, seramai 396 individu dikompaun, manakala 17 direman kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Beliau berkata, antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (101), tidak memakai pelitup muka (84), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (64), tiada penjarakan fizikal (48), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (78).

“Pihak berkuasa juga menangkap 32 pendatang tanpa izin (PATI) dan merampas dua buah kenderaan darat, serta mengesan 105 bot/kapal di perairan Malaysia, dalam Ops Benteng di seluruh negara semalam,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.