Pengecualian perbaharu LKM, CDL 1 Feb-31 Mac

156

29 JAN: Pemegang lesen memandu dikecualikan daripada memperbaharui lesen mulai 1 Februari hingga 31 Mac ini sebagai salah satu usaha mengelakkan kesesakan di tempat awam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, peruntukan itu digunakan semula seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 setelah menyedari kesukaran orang ramai untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL).

“Namun, para pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (e-cover note insurans) mereka kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta.

“Pemegang LKM dan CDL yang telah atau bakal tamat tempoh hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian diberikan iaitu sehingga 30 April 2021,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

wee ka siong
WEE KA SIONG

Kementerian Pengangkutan mengambil langkah itu berdasarkan maklum balas orang ramai khususnya melibatkan pemilik kenderaan persendirian LKM dan CDL yang telah tamat tempoh di sepanjang pelaksanaan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak.

Ini disebabkan oleh perkhidmatan operasi di kaunter-kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak telah dihadkan seiring pelaksanaan PKP mulai 13 Januari 2021.

Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu namun pengecualian tersebut tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang lesen vokasional (GDL dan PSV)

Menurut beliau, ini kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu merujuk kepada Jadual Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

“Pembaharuan untuk perkhidmatan ini boleh dilakukan di semua kaunter / pejabat JPJ, APAD, LPKP Sabah dan LPKP Sarawak di sepanjang tempoh PKP.

“Semua pusat pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM juga adalah beroperasi bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembaharuan ini,” katanya..

Pada masa sama, tambah beliau, orang ramai digalakkan untuk menggunakan platform dalam talian yang telah disediakan oleh JPJ dan rakan kerjasama bagi tujuan memperbaharui LKM dan CDL.

Sementara itu, Ka Siong turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjadi pemandu berhemah dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.