KKM jalani latihan hantar vaksin COVID-19 ke Sarawak

119

29 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan latihan penghantaran vaksin COVID-19 ke Belaga Sarawak sebagai persediaan dalam menghadapi sebarang cabaran dalam proses penghantaran bekalan vaksin tersebut yang bakal diterima negara pada penghujung Februari ini.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba, vaksin COMIRNATY memerlukan penyimpanan pada suhu ultra sejuk, -75°C (+/-15°C) yang memberi cabaran dalam proses pengedaran vaksin tersebut.

“Sehubungan dengan itu, aktiviti dry run penghantaran vaksin ini ke Klinik Kesihatan Belaga, Sarawak telah dijalankan pada 29 Januari 2021. Ia adalah sebagai latihan bagi memastikan persiapan yang rapi dibuat sebelum bekalan sebenar vaksin dari syarikat Pfizer ini diterima di Malaysia.

“Belaga di Sarawak dipilih sebagai lokasi latihan ini kerana KKM mahu menilai keupayaan pelaksananaan vaksinasi di pedalaman. Klinik Kesihatan Belaga berada sejauh 178 km atau kira-kira empat jam perjalanan dari bandar terdekat iaitu Bintulu (dan kira-kira 778 km dari bandar Kuching) melalui jalan darat.

“Pelaksanaan dry run ini adalah usahasama yang dijalankan di antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan syarikat Pfizer (M) Sdn. Bhd,” ujarnya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah Dr Adham, objektif utama aktiviti dry run ini diadakan adalah untuk menilai keupayaan pengekalan suhu -75°C (+/-15°C) vaksin COMIRNATY sepanjang rantaian penghantaran, iaitu dari pihak pengilang sehingga ke fasiliti yang dipilih.

“Selain itu, aktiviti ini akan menilai kebolehlaksanaan proses-proses yang terlibat dalam pengendalian vaksin COVID-19 dan menguji pelaksanaan Garis Panduan Pengendalian Vaksin COVID-19 yang telah dibangunkan di lapangan agar pengedaran sebenar ke seluruh Malaysia kelak akan berjalan lancar.

“Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 antaranya melalui perolehan bekalan vaksin yang berkualiti, selamat dan berkesan serta memastikan pelan imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar,”katanya lagi.

Sementara itu, mengulas berhubung bekalan vaksin COVID-19, beliau berkata kerajaan telah membuat perjanjian awal bersama COVAX Facility dan juga syarikat Pfizer bagi menjamin akses kepada bekalan vaksin COVID-10 di negara ini.

“Tetapi dalam masa yang sama kerajaan turut membuat rundingan bersama beberapa pembekal vaksin COVID-19 yang lain dalam usaha memastikan bekalan vaksin meliputi 80 peratus rakyat Malaysia.  

“Pada 8 Januari lalu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), telah memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk vaksin COVID-19 keluaran syarikat Pfizer, COMIRNATY dan sehubungan itu,Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin tersebut untuk fasa pertama bekalan pada penghujung Februari ini,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.