Kaedah calitan tekak lebih tepat berbanding calitan dubur

109

29 JAN: Pakar Perubatan mengesahkan kaedah ujian calitan tekak dan nasopharyngeal melalui saluran hidung adalah lebih tepat bagi mengesan kehadiran virus COVID-19 berbanding pengesanan terhadap najis, dubur atau rektum.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata kenyataan itu disokong oleh data kajian yang menunjukkan, kadar ketepatan pengecaman virus COVID-19 menerusi calitan nasopharyngeal dan calitan adalah menjangkau 88 peratus berbanding kaedah calitan najis, dubur atau rektum hanya sekitar 70 peratus sahaja.

“Kalau nak ikutkan memang kita boleh menggunakan beberapa kaedah calitan bagi sampel ujian saringan untuk mengesan kehadiran virus COVID-19 yang diguna pakai di seluruh dunia sekarang.

“Namun, berdasarkan data dikeluarkan kadar pengecaman menerusi kaedah calitan tekak dan nasopharyngeal melalui saluran hidung bagi mengesahkan jangkitan COVID-19 kini sudah mencapai tahap 88 peratus dari ketepatannya dan sudah cukup baik.

“Kaedah kedua yang boleh kita gunakan adalah najis, dubur atau rektum namun kadar ketepatan pengecaman kehadiran virus COVID-19 adalah di sekitar 70 peratus sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Dr Yahya berkata beliau berpandangan kaedah ujian calitan tekak dan nasopharyngeal melalui saluran hidung juga menjimatkan masa dan tenaga kerja petugas barisan hadapan, selain tidak terlalu sukar untuk dilakukan.

Beliau berkata keadah calitan hidung dan tekak amat mudah boleh dilakukan secara ‘drive thrue’  atau pandu lalu tanpa seseorang individu berkenaan keluar dari kenderaan untuk menjalankan ujian saringan sekali gus mengurangkan interaksi dan risiko jangkitan virus COVID-19 kepada petugas barisan hadapan terbabit.

“Kalau kita membuat ujian saringan menggunakan kaedah calitan dubur maka ia akan mengambil masa lama dan menyusahkan individu berkenaan kerana dia terpaksa keluar dar kereta, nak kena masuk ke bilik dikhaskan dan tertutup supaya orang lain tidak dapat melihatnya.

“Mereka juga perlu berbaring dan membuka pakaian sekali gus menyebabkan masa untuk membuat ujian saringan COVID-19 akan bertambah, keperluan tenaga kerja untuk mengambil calitan berkenaan juga semakin ramai, sekali gus menyusahkan orang awam.

“Saya percaya jika kita mahu menggunakan kaedah calitan dubur banyak perkara lain perlu diambil kira bukan hanya segi prosedur dan kakitangan sahaja, mungkin timbul isu gangguan seksual, biarpun peratus ketepatan keputusan ujiannya agak tinggi,” katanya

Malah, Dr Yahya berkata beliau berkeyakinan 100 peratus jika diberikan pilihan kepada orang awam sekali pun mereka akan memilih kaedah calitan menerusi mulut dan hidung berbanding dubur. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.