COVID-19 boleh jadi punca lelaki hilang kejantanan

117

29 JAN: COVID-19 bukan sahaja boleh menyebabkan mereka yang dijangkiti mengalami masalah pernafasan, malah mungkin berupaya menyebabkan lelaki hilang kejantanan mereka.

Memetik laporan AFP, virus tersebut dikatakan boleh menjejaskan kualiti sperma dan tahap kesuburan.

Dakwaan itu dinyatakan dalam kajian pakar serta hasil eksperimen yang disiarkan dalam jurnal Reproduction.

Menurut pakar, COVID-19 boleh menyebabkan kematian sel sperma, keradangan dan tekanan oksidatif meningkat.

“Penemuan ini menunjukkan bukti eksperimen secara langsung pertama yang sistem reproduktif lelaki menjadi sasaran dan rosak akibat COVID-19,” kata pakar terbabit.

Walau bagaimanapun, pakar belum dapat membuktikan keupayaan COVID-19 menjejaskan kesuburan lelaki.

Kajian tersebut dijalankan oleh dua penyelidik dari Justus-Liebig-University di Jerman, Behzad Hajizadeh Maleki dan Bakhtyar Tartibian terhadap 84 lelaki yang juga pesakit COVID-19.

Analisis yang dilakukan selama 60 hari dengan berselang setiap 10 hari itu dibandingkan dengan data 105 lelaki yang sihat.

Mereka mendapati kesan COVID-19 terhadap kesuburan 84 lelaki itu adalah tinggi dan luar biasa.

Walau bagaimanapun, pakar-pakar lain menyatakan lebih banyak kajian lanjut perlu dijalankan sebelum membuat rumusan berhubung kesan COVID-19 terhadap kesuburan lelaki.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.