Banci Malaysia 2020: Hanya 10 juta rakyat beri kerjasama

66

29 JAN : Hanya kira-kira 10 juta penduduk atau 30.4 peratus daripada 32,726,509 juta rakyat Malaysia memberi kerjasama dalam kempen banci negara menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Census yang dilaksanakan sejak 7 Julai hingga semalam.

Justeru, rakyat di negara ini diminta memberikan kerjasama dalam pelaksanaan Banci 2020 fasa kedua yang dijadualkan bermula 20 Jan hingga 6 Feb, yang mana ia telah disusun semula dengan meneliti semula gerak kerja Banci 2020 termasuk membuka semula platform e-Census.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata hingga hari ini, sebanyak 3.3 juta tempat kediaman telah dibanci menerusi kaedah itu yang dibuka semula dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19.

Pelaksanaan Banci 2020 fasa kedua yang dijadualkan bermula 20 Jan hingga 6 Feb disusun semula dan meneliti semula gerak kerja Banci 2020 termasuk membuka semula platform e-Census,”jelasnya menerusi di Facebook secara langsung hari ini.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata antara negeri yang merekodkan bancian tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya (91 peratus), Johor (48.2 peratus) dan Perlis (45 peratus) manakala Sabah merekodkan bancian terendah sebanyak 8.9 peratus.

Katanya Wilayah Persekutuan Labuan mencatat 17.6 peratus, Sarawak (18.9 peratus), Melaka (38.9 peratus), Pulau Pinang (38 peratus), Negeri Sembilan (35.2 peratus), Terengganu (32.5 peratus), Selangor (31.4 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (28.4 peratus), Kelantan (27.3 peratus), Kedah (25.8 peratus) dan Pahang (24 peratus).

“Berdasarkan penerimaan 10 juta ini, sebanyak 50.1 peratus adalah perempuan manakala 49.9 peratus adalah lelaki, jadi ada keseimbangan di antara taburan lelaki dan perempuan.

“Analisis berdasarkan semua kelas kumpulan umur pula mendapati 6.3 peratus adalah dalam kalangan penduduk berumur 65 tahun ke atas, umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun (69.5 peratus) dan 24.3 peratus penduduk umur muda iaitu 0 hingga 14 tahun,” katanya.

Bagi statistik warganegara, etnik bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak (67.1 peratus), diikuti  Cina (26 peratus), India (6.3 peratus), lain-lain (0.6 peratus), manakala bukan warganegara sebanyak 2.3 peratus.

Selain itu, beliau berkata terdapat 320,000 isi rumah melibatkan 1.2 juta penduduk telah mendaftar di platform e-Census tetapi masih belum melengkapkan pengisian e-Census sepenuhnya.

Justeru, bagi mengurangkan kontak bersemuka, semua penduduk Malaysia diharap dapat memberi kerjasama dengan mengisi segera maklumat banci secara dalam talian melalui www.mycensus.gov.my.

“Semua penduduk diseru menjayakan Banci Malaysia 2020 dalam memastikan tiada yang ketinggalan demi masa depan negara dan kemakmuran bersama. Kejayaan negara dan kesejahteraan hidup dinikmati pada hari ini adalah hasil penyaluran maklumat penduduk daripada banci-banci terdahulu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.