Rangka terdampar mungkin jenis kapal stim

79

28 JAN: Rangka kapal yang ditemukan dua minggu lepas selepas banjir surut di Kampung Pagar, Penjom, Kuala Lipis, Pahang berkemungkinan kapal stim dan terlibat dengan kegiatan perlombongan emas di Penjom yang beroperasi sejak abad ke-19 di kawasan tersebut.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, berdasarkan analisis awal, kapal berkenaan dianggarkan panjangnya antara 25 meter sehingga 300 meter.

Menurut beliau, hasil tinjauan permukaan dijalankan, lebih 100 pecahan kayu ditemukan yang dipercayai merupakan sebahagian daripada badan kapal tersebut, berdasarkan morfologi dan jenis kayu serta paku yang terdapat pada jumpaan tersebut.

“Turut ditemukan sejumlah seramik dagangan yang seusia dengan relik kapal itu yang terdiri daripada seramik China dan Eropah di sekitar tapak jumpaan.

“Jabatan Warisan Negara dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang dengan kerjasama penduduk kampung telah menjalankan proses penyelamatan selama lima hari bermula 19 Januari lepas.

“Ini meliputi proses mendokumentasi, merekodkan dan memelihara artifak itu untuk ditempatkan di Muzium Warisan Lipis di bawah jagaan Pejabat Daerah Lipis,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohd Sharkar memberitahu, penyelidikan pada fasa seterusnya dijangka akan melalui proses ekskavasi arkeologi di tapak jumpaan untuk mendapat maklumat secara saintifik dan memastikan kesuluruhan artifak yang tertinggal berkaitan relik tersebut dapat ditemukan.

“Berdasarkan rekod sejarah, terdapat beberapa kapal jenis steamship telah beroperasi atau melalui sungai Pahang di Kuala Pahang sehingga Sungai Lipis, antaranya, SS Amherst yang dilaporkan karam di Kuala Pahang dan kapal Seri Pahang yang dipercayai karam di Paloh Hinai, Pekan.

“Selain itu, terdapat sebuah kapal lagi pernah beroperasi di kawasan sama, iaitu SS Senyum yang beroperasi di bawah syarikat perlombongan emas Penjom, namun tiada rekod kapal berkenaan karam ditemui setakat ini.

Sebahagian struktur kapal yang hampir lengkap ditemukan terdampar berhampiran Sungai Lipis oleh penduduk kampung berkenaan pada 14 Januari lalu setelah banjir teruk mula melanda Pahang pada 3 Januari surut.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop berkata, kapal yang diperbuat daripada binaan kayu dan tembaga itu berkemungkinan besar ialah kapal dagang milik Inggeris atau digunakan oleh pembesar pada zaman tersebut.

Ia berdasarkan penemuan kepingan plat besi bertulis Vivian & Son pada 1824, iaitu syarikat yang ditubuhkan bagi menjalankan operasi peleburan tembaga pada 1809 sebelum berkembang menjadi rumah peleburan terkemuka pada 1820.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.