Program vaksinasi lebih cepat jika babitkan klinik swasta

54

28 JAN : Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy, berkata, program vaksinasi dapat berjalan lebih cepat jika kerajaan memaksimumkan akses pengagihan menerusi penyertaan lebih banyak klinik swasta.

Menurut beliau, Jika kerajaan bersetuju meningkatkan jumlah penyertaan klinik swasta dalam program vaksinasi kebangsaan, beliau berkata, ia dapat membantu mengurangkan kesesakan di pusat vaksinasi.

“Kebanyakan klinik swasta berada di kawasan berkepadatan tinggi yang mendedahkan penduduk dengan risiko penularan jangkitan COVID-19.

“Seramai 7,000 doktor klinik swasta (GP) terlatih KKM (Kementerian Kesihatan) dan klinik mereka terletak di lokasi berdekatan dengan komuniti sama ada bandar dan luar bandar di negara ini.

“Malangnya, mereka tidak dimanfaatkan sepenuhnya dalam pengurusan pandemik. Sehubungan itu, MMA meminta kerajaan memaksimumkan aksesnya kepada agihan vaksin secara lebih meluas untuk populasi menerusi peningkatan penyertaan klinik swasta,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Subramaniam lagi, pihaknya mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada lokasi padat penduduk kerana mereka berdepan risiko tinggi penularan jangkitan COVID-19.

Pembabitan lebih banyak klinik swasta, kata Dr Subramaniam, dapat mengurangkan kebergantungan tenaga kerja kerajaan dan sumber kerana klinik swasta akan memanfaatkan kakitangan masing-masing.

“Kerajaan perlu memastikan pengendalian vaksin dilakukan oleh mereka yang berkelayakan, doktor perubatan terlatih dan tanpa pembabitan orang tengah atau ejen bukan dalam kalangan penjagaan kesihatan.

“Mereka yang mengendalikan suntikan mesti memastikan penjagaan pesakit yang betul termasuk pengurusan kemungkinan tindak balas akibat suntikan. Sama pentingnya ialah pencegahan penyakit berjangkit dan dikawal di bawah garis panduan ketat KKM.

“Piawaian tertinggi membabitkan aspek penjagaan mesti dikekalkan dengan kemudahan berkenaan menerima akauntabiliti pihak berkaitan,”ujarnya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.