Pentadbiran Biden teruskan polisi pro-Zionis Israel

52

27 JAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dikatakan tetap akan meneruskan polisi terdahulu yang dilaksanakan oleh Donald Trump berhubung hubungan dengan negara-negara Arab dan Islam serta isu Palestin.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pentadbiran Biden turut dipengaruhi oleh Zionis, namun apa yang berbeza hanyalah pendekatannya sahaja yang halus.

Beliau mengibaratkan pendekatan yang digunakan laksana angin bertiup sepoi bahasa yang mampu menjatuhkan kera yang berpaut pada dahan yang kukuh, setelah tidak mampu dijatuhkan oleh ribut taufan yang kuat dan ganas.

“Maka dipilih pendekatan diplomatik yang lembut supaya masuk ke dalam pengaruhnya, dan dapat diletak serta diatur dalam percaturannya.

“Begitulah juga, realiti politik di Amerika Syarikat laksana papan dan buah catur yang sama, hanya sekadar bertukar pemainnya sahaja,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, semua negara sekadar mahu dijadikan buah catur mereka sahaja, mengikut kehendak pemain dan tidak mampu bergerak sendiri.

Beliau menambah, Biden ialah penyokong dasar terdahulu terhadap Israel dan campur tangan ke dalam urusan negara Islam, seperti menyerang Afghanistan, mengkhadamkan puak Kurdi di sempadan Turki, Syria, Iraq dan Iran.

“Termasuklah penggerak perang proksi di Syria, Libya dan Yaman, memecah belahkan Iraq, serta mengepung Iran dan mengugut semua negara yang tidak mengikut kehendaknya,” jelasnya.

Abdul Hadi menambah, perubahan jawatan Presiden AS kepada Biden kerana pendekatan campur tangan dahulu telah gagal, tanpa dapat menguasai keadaan, maka perlu diubah tangan pemainnya.

Beliau berkata, Biden tetap meneruskan polisi yang sama, dengan perubahan mengikut keadaan semasa sahaja khususnya dalam menghadapi kebangkitan semula umat Islam.

“Kini sudah ada negara yang berlumba untuk mendukung siapa yang menang, kerana melihat peluang untuk berpaut dengan negara yang dianggap besar itu.

“Mereka sekadar masih menumpang harapan bagi mengekalkan kuasa di bawah naungan Amerika dan mendapatkan kuasa dengan pertolongannya,” ujarnya.

Abdul Hadi turut menempelak sikap segelintir negara Islam yang kaya hasil bumi, tetapi sangat fakir diri dan maruahnya masih lagi terhegeh-hegeh menagih simpati dengan pihak yang menang di AS.

“Walhal di negara sendiri tidak diadakan pilihan raya pun. Jika diadakan sekalipun, hanya pada namanya sahaja pilihan raya,” sindirnya.

Beliau juga kesal apabila negara-negara Islam terbabit terlalu banyak melabur kekayaan di negara Amerika Syarikat dan Eropah, berbanding membantu negara umat Islam sendiri, sehingga dilaburkan di tempat yang tersasar daripada lapangan yang sepatutnya.

“Mereka sekadar bergembira di kelab judi dan kelab sukan sahaja kerana terlalu rakus pergantungannya kepada pihak yang bukan saudara-mara mereka.

“Sehingga perbelanjaan pertahanan pun lebih besar semata-mata untuk melaksanakan perang saudara sesama sendiri, bukannya untuk melawan musuh negara. Sebaliknya senjata dibeli untuk membunuh kawan dan diri sendiri,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.