Ops Catut 8.0 dilancarkan pantau harga peranti elektronik

45

28 JAN : Mengambil maklum tentang kenaikan harga barangan peranti elektronik, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Ops Catut 8.0  dalam usaha untuk memantau harga jualan komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon bimbit dan alat komunikasi terutama perkakasan internet.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, sejak 25 Jan lalu sehingga semalam, bahagian penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan terhadap 130 premis yang meliputi 262 barangan kelengkapan elektronik, komputer dan komunikasi.

“Kementerian mengambil maklum tentang dakwaan kenaikan harga barangan tersebut ekoran keperluan pelajar sekolah terhadap perkakasan komputer, mesin cetak dan aksesorinya serta kelengkapan komunikasi untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan

“Hasil pemantauan itu, sebanyak 130 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21  Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah diserahkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan tersebut bagi suatu tempoh untuk mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja untuk mengemukakan maklumat dan dokumen yang diperlukan dan sekiranya gagal mematuhi notis tersebut, ia menjadi kesalahan tindakan di bawah Seksyen 21(5) AKHAP 2011,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya pemantauan itu dilaksanakan selama dua minggu mulai 25 Jan dan peniaga yang dikesan melakukan aktiviti mencatut akan diperiksa di bawah perundangan pencatutan.

“Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi Seksyen 21(5) AKHAP 2011 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.

“KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan keperluan supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata pengguna dinasihatkan menyimpan setiap resit pembelian bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Selain itu, pengguna digalakkan membanding harga dan mengetahui ciri-ciri pakej yang hendak dibeli terutama keperluan pembelajaran dalam talian serta tawaran pakej daripada penjual sebelum membuat keputusan membelinya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.