Maritim Malaysia Kuala Perlis rampas 20 bubu naga

39

28 JAN: Zon Maritim Kuala Perlis merampas sebanyak 20 set bubu naga (bubu kambang) di kedudukan kira-kira 1.0 batu nautika daripada barat laut muara Sungai Kurung Tengar, Perlis sekitar jam 3.35 petang, semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, bubu itu dikesan oleh bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut di perairan Perlis melalui pancang-pancang kayu yang mencurigakan di permukaan air sekitar perairan berkenaan.

Menurut beliau, hasil tinjauan mendapati, pancang kayu tersebut adalah penanda lokasi di mana bubu naga dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM2,400 itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.