Kes harian COVID-19 kembali cecah 4,000

54

28 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengesahkan jumlah kes positif COVID-19 hari ini kembali mencecah 4,000 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia setakat ini adalah 198,209 kes dan sebanyak 43,192 kes aktif dengan kebolehjangkitan.

Sementara itu, 10 lagi kes kematian direkodkan, manakala 303 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 118 kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, bilangan pesakit COVID-19 yang dirawat di ICU menunjukkan sedikit penurunan, daripada 314 kes semalam kepada 303 orang hari ini.

Jumlah bilangan kes sembuh yang direkodkan hari ini pula ialah sebanyak 3,281 kes, menjadikan kes sembuh keseluruhan terkini sebanyak 154, 299 kes

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 4,094 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 4,086 kes membabitkan penularan tempatan, manakala baki lapan lagi ialah kes import iaitu dua warganegara dan enam bukan warganegara

“Selangor kini kembali mencatatkan jumlah kes baharu positif dengan 1,577 kes termasuk 1,262 kes atau 80 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan, diikuti Johor (717 kes); Kuala Lumpur (678);  Sabah (282), Sarawak (171) dan selebihnya di negeri lain.

“Sebanyak 27 kes (0.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

“Ini membabitkan Kluster Tembok Mempaga (11 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (5 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (2 kes), Kluster DTI Sepang 2 (2 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (2 kes), dan Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berhubung laporan kematian pula, Dr Noor Hisham menjelaskan kes kematian tersebut melibatkan tiga kes di Selangor dan Sabah, dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan  satu kes di Kedah dan Sarawak.

“Sebanyak sembilan kes kematian adalah melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara. Sehubungan itu, KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.