Jangan pandang rendah impak jangkitan COVID-19

443

28 JAN: Pakar perubatan mengingatkan rakyat Malaysia supaya jangan memandang rendah impak besar jangkitan COVID-19 terhadap individu dijangkiti virus berbahaya berkenaan termasuk boleh menyebabkan kecacatan kekal anggota badan dan kehilangan fungsi organ dalam.

Pakar Anestesiologi dan Rawatan Kritikal Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Noorulhana Sukarnakadi Hadzarami, berkata pesakit COVID-19 sebenarnya menghadapi pelbagai kesan sampingan sama ada boleh sembuh dalam jangka masa singkat atau kekal selamanya.

“Kita kena ingat bukan hanya individu terkena COVID-19 berada di tahap 4 atau 5 sahaja yang mempunyai kesan sampingan tetapi kategori 1 dan 2 juga tidak terkecuali.

“Saya memang mengakui bahawa ada pesakit yang berada ditahap 4 dan 5 terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan ketika menerima rawatan kerana mungkin ada organ tertentu tidak berfungsi dengan sempurna seperti paru-paru, jantung, buah pinggang dan otak.

“Misalnya kalau dulu, mereka boleh berlari atau marathon tetapi selepas mereka sembuh mereka tidak boleh berbuat demikian. Jangan katakan nak maraton jalan 200 meter atau naik tangga satu tingkat pun mereka akan mengalami semput tidak sama macam dulu. Itu kalau mereka bernasib baik dan masih hidup,” katanya dalam rakaman video bagi menjelaskan kekeliruan mengenai kesan jangkitan COVID-19 menerusi laman Facebook miliknya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Noorulhana berkata, bagi pesakit jantung pula kalau mereka diserang COVID-19 maka ia akan menyebabkan jantung semakin lemah.

Dr Noorulhana berkata, biarpun mereka sembuh daripada jangkitan COVID-19, keadaan jantung tidak akan menjadi normal macam dulu dan mereka juga berisiko tinggi untuk mengalami kegagalan fungsi jantung pada masa depan.

“Kalau pesakit COVID-19 berkenaan mengalami masalah kegagalan buah pinggang dan terpaksa menjalani dialisis mereka akan mengambil lama untuk pulih sepenuhnya, mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau terus kekal selamannya.

“Mereka juga berkemungkinan mengalami penyakit buah pinggang yang kronik dan bila-bila masa sahaja buah pinggangnya boleh gagal berfungsi,” katanya.

Beliau berkata bagi mereka yang terkena angin ahmar atau stroke akibat COVID-19, kesannya akan kekal selamanya bukan hilang.

“Bagi mereka berusia 60 tahun ke atas pula jika terkena COVID-19 mereka mungkin akan mengalami penyakit dimensia (mengalami nyayuk yang teruk), parkindson (gangguan moto) dan Alzheimer,” katanya.

Beliau berkata ada juga bekas pesakit COVID-19 yang masih muda dan berusia bawah 40 tahun mengadu mereka mengalami kesan sampingan seperti sering berasa sakit badan, kurang bertenaga dan batuk berterusan selama berbulan-bulan baru sembuh.

“Ada juga bekas pesakit COVID-19 perempuan yang mengadu bahawa rambut mereka senang gugur seperti selepas mereka menjalani rawatan kimoterapi untuk merawat penyakit kanser,” katanya.

Berikutan itu, beliau menempelak kenyataan pihak tertentu yang mempertikaikan tindakan kerajaan melaksanakan darurat dan pemberian vaksin bagi mencegah jangkitan COVID-19 daripada terus menular di Malaysia.

“Ada pihak bertanya kenapa perlu darurat dan vaksin kalau ramai sembuh pesakit COVID-19 tanpa ubat. Ramai orang bercakap kenapa perlu ambil vaksin kerana ramai pesakit sembuh tanpa mengambil ubat-ubatan khusus. Malah ada mendakwa terdapat kira-kira 99 peratus sembuh COVID-19 tanpa ubat.

“Dakwaan bahawa 99 peratus pesakit COVID-19 sembuh tanpa menggunakan ubat-ubatan adalah tidak benar sama sekali. Seperti kita tahu di Malaysia sudah lebih 158,000 orang terkena jangkitan COVID-19 termasuk 120,000 yang sudah sembuh, jadi mana lagi baki 30,000 pesakit. Ini bermakna kes aktif di Malaysia masih lagi 30,000 dan belum sembuh.

“Saya memang mengakui bahawa pesakit kategori 1 dan 2 tidak memerlukan ubat-ubatan untuk sembuh. Bagaimanapun, terdapat 15 hingga 20 peratus pesakit COVID-19 perlu bergantung kepada ubat-ubatan untuk sembuh.

“Malah, lima peratus daripada pesakit COVID-19 pula bukan hanya memerlukan ubat-ubatan untuk sembuh malah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan, ubat anti virus dan sebagainya. Sebenarnya hanya 80 peratus pesakit COVID-19 sembuh tanpa ubat, manakala selebihnya 20 memerlukan rawatan rapi termasuk ICU.

“Ini bermakna kadar sembuh kita bukan lagi macam dulu 90 peratus sembuh tetapi sekarang kerana banyak sangat kes maka kadar sembuh sekarang ialah 75.8 peratus,” katanya. – OLEH HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.