Anwar cabar Darurat, negara boleh porak-peranda

247

28 JAN: Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin mencabar Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong boleh memporak-perandakan kestabilan negara.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa berkata, Anwar yang juga Ketua Pembangkang sepatutnya memahami keperluan semasa negara yang tenat.

Beliau mendakwa, langkah terbaharu Anwar itu dilihat berniat menghasut dan ingin menggugat keabsahan keputusan dan perkenan yang telah dibuat oleh Seri Paduka atas nasihat kerajaan sedia ada.

mohd zai mustafa
MOHD ZAI MUSTAFA

“Setelah Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dan kepuasan hati Seri Paduka berkenan membuat keputusan darurat adalah tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak di mana-mana mahkamah di negara ini.

“Ini bermakna nasihat yang diberikan oleh kerajaan semasa kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum membuat keputusan adalah sudah dinilai dengan teliti manakala keputusan Seri Paduka adalah mutlak dan sah,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebook Ummah.

Sehubungan itu, Mohd Zai menambah, UMMAH mengambil sikap dan pendirian yang tegas berlandaskan hak dan prinsip Perlembagaan ingin menasihatkan agar pemimpin-pemimpin politik supaya berhenti dari sebarang usaha mengkucar-kacirkan sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.

Beliau memberitahu, UMMAH juga ingin menegaskan bahawa jika ada usaha yang berniat menghasut, mencabar, memporak-perandakan keadaan negara yang sedang tenat ini perlu di ambil tindakan yang tegas oleh pihak keselamatan.

“Kita sebagai rakyat yang cintakan keamanan di negara ini seharusnya bersatu padu dalam usaha membaik pulih negara, ekonomi dan menghargai istitusi raja yang memayungi tanah air ini,” jelasnya.

Mohd Zai berkata, sebagai rakyat yang taat dan setia kepada raja dan Perlembagaan Persekutuan sudah tentu mahu negara terus berada dalam keadaan aman dan selamat sepanjang bergelut dengan COVID-19 serta masalah ekonomi.

“Bukan dianaktirikan oleh pemimpin politik yang rakus tidak berhenti berusaha merebut takhta pemerintahan negara,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.