Annuar jangka PRU-15 berlangsung sebelum 1 Ogos

196

28 JAN: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menjangka Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berlangsung sebelum 1 Ogos depan atau 60 hari selepasnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, semua ahli UMNO perlu memastikan parti berkenaan menenangi PRU-15 atau menjadi sebahagian daripada gabungan parti yang menang.

“Tidak mustahil PRU-15 boleh berlaku sebelum 1 Ogos atau 60 hari selepasnya. Justeru yang paling utama bagi kita ahli UMNO ialah mempastikan UMNO memenangi PRU itu,atau sekurang kurangnya UMNO adalah sebahagian daripada pasukan yang menang.

“Justeru tanggungjawab para nakhoda, adalah mengemudi ke arah kejayaan, bukan ke arah menghancurkan..sementara para juragan terus mendayung, bekerja kuat sepasukan membawa parti ke destinasinya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya hari ini..

Annuar turut menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO supaya tidak sombong, hasad dengki dan jangan menabur fitnah serta memburuk-burukkan antara satu sama lain.

Beliau berkata, pemimpin UMNO juga perlu mengakui kesilapan dan berkata benar biarpun pahit untuk ditelan atau memberi implikasi negatif kepada parti.

“Jangan sombong, jangan bongkak, jangan hasad, jangan pepat di luar rencung di dalam…jangan depan lain, belakang lain. Berkata benar, berterus terang serta sabar bila difitnah.

“Insya-Allah kebenaran dan kemenangan menanti di hadapan. Apa yang penting, UMNO selamat, kekal diyakini dan disayangi rakyat,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.