49 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu JIM Sabah

60

28 JAN : Seramai 49 pendatang tanpa izin ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Sabah pada 26 Januari lalu.

Menurut Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 29 merupakan warganegara Filipina dan 20 orang lagi warganegara Indonesia.

“Operasi itu melibatkan 101 anggota pelbagai jabatan antaranya Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan semua yang ditahan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Transit, Depot Imigresen Papar, sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Operasi yang dijalankan bermula jam 11.50 malam dan berakhir pada jam 2 pagi itu, melibatkan rumah-rumah setinggan di tanah simpanan kerajaan dan Taman Bunga Sulaman, Kota Kinabalu,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Sade, mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 antaranya Seksyen 6(1)(c) iaitu, masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c), iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat-syarat pas.

Katanya lagi, objektif utama operasi itu dilaksanakan adalah untuk membanteras mana-mana warga asing terutamanya pendatang tanpa izin yang membuat penempatan haram di tanah-tanah simpanan kerajaan atau milik individu awam.

“JIM Sabah memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada jabatan itu kawasan penempatan haram yang didapati menjadi penempatan pendatang tanpa izin di sekitar kediaman mereka,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.