PKPD PTT Penjara Marang, Pusat Koreksional Dungun

30

27 JAN: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi baharu iaitu di Pusat Transit Tahanan (PTT) Penjara Marang dan Pusat Koreksional Dungun, Terengganu, mulai esok sehingga 10 Februari 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan PKPD Pusat Transit Tahanan (PTT) akan membabitkan Blok Pusat Latihan Pegawai Penjara, Zon 2 dan Zon 3, Penjara Marang dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKPM) melaporkan situasi peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak di kawasan terbabit.

Beliau berkata, sehingga 26 Januari 2021, KKM telah melaksanakan 1,262 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 98 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Bagaimanapun, kesemua kes positif ini hanya melibatkan tahanan yang ditempatkan di PTT. Justeru, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan bermula 28 Januari 2021 sehingga 10 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri menambah, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, PKPD di Pusat Koreksional Dungun dan Kuarters Kakitangan pula dilaksanakan selepas KKM melaporkan situasi peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak di kawasan terbabit.

Ismail Sabri memberitahu, sehingga 26 Januari 2021, KKM telah melaksanakan 1102 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 99 kes positif COVID-19 telah direkodkan yang melibatkan 92 tahanan, dua kakitangan dan lima kontak rapat.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Pusat Koreksional Dungun dan Kuarters Kakitangan bermula 28 Januari 2021 sehingga 10 Februari 2021,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.