Permohonan baharu BPR dibuka mulai 15 Februari

114

27 JAN: Proses permohonan baharu untuk Fasa Pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh dibuat mulai sekarang hingga 15 Februari ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata orang ramai yang ingin berbuat demikian boleh mengemukakan permohonan menerusi pautan https://bpr.hasil.gov.my.

“Kerajaan pemberian bantuan berkenaan dapat memanfaatkan lebih lapan juta penerima B40 yang lulus di bawah BPN 2.0 dan Bantuan Sara Hidup 2020 (BSH 2020), selain mereka yang lulus permohonan baharu kelak,” ketika menyampaikan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-38 secara maya, menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Tengku Zafrul
TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) awal bulan ini berkata, fasa pertama BPR akan membabitkan lebih lapan juta penerima.

BPR akan memanfaatkan golongan isi rumah berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan dengan bantuan sebanyak RM300, manakala bagi kategori bujang berpendapatan sehingga RM2,000 akan menerima RM150.

Sementara itu Tengku Zafrul menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan yang bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah untuk mempercepatkan penyampaian 150,000 komputer riba oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bermula bulan depan.

“Ini bagi memastikan anak-anak kita dari keluarga B40 dapat meneruskan pelajaran secara dalam talian walaupun dari rumah. Ini adalah salah satu cara kita memanfaatkan ekosistem kerajaan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Ini juga bukan kali pertama Yayasan Hasanah berganding bahu dengan KPM bagi menyumbang kepada perkembangan sektor pendidikan terutama bagi pelajar di luar bandar.

“Untuk pengetahuan umum, dari 2015 hingga 2019, Yayasan Hasanah sudah membelanjakan sebanyak RM363 juta untuk tujuan ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.