Perak, Pulau Pinang, Melaka benarkan solat Jumaat, fardu

157

27 JAN : Tiga negeri iaitu Perak, Pulau Pinang dan Melaka hari ini membenarkan solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau negeri masing-masing dengan syarat mematuhi standard operasi prosedur (SOP) dan jumlah bilangan jemaah yang terhad mengikut kapasiti sesebuah masjid dan surau.

Di Perak, menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin memperkenan solat Jumaat dan fardu diadakan selepas menimbang sembah cadangan MAIPk yang berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negeri Perak.

“Surau itu termasuk yang terletak dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, maktab, sekolah, syarikat dan kilang.

“Bagaimanapun, had maksimum jemaah ditetapkan kepada 40 orang bagi masjid atau surau Solat Jumaat, selain ketika menunaikan solat fardu dan jenazah dengan ia tidak termasuk ahli jawatankuasa.

“Tidak dibenarkan sebarang acara jamuan dalam masjid dan surau termasuk di kawasan pekarangan,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, jemaah juga hanya dalam kalangan warganegara Malaysia berusia antara 16 tahun hingga 70 tahun, sementara aktiviti keagamaan yang dibenarkan adalah ketika waktu antara selesai solat Maghrib dan menjelang Isyak.

Katanya, baginda menitahkan agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat hajat setiap hari bagi memohon supaya bencana kesihatan ini dapat dibendung.

Manakala di Melaka, kerajaan negeri hari ini turut membenarkan solat berjemaah dilakukan dengan syarat mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan negeri telah membenarkan solat berjemaah dengan kapasiti 500 jemaah bagi masjid kerajaan, manakala 250 jemaah di masjid kariah dan 75 jemaah di surau-surau berkuatkuasa esok.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang bakal berakhir awal Februari ini.

“Jumlah maksimum jemaah yang dibenarkan bagi melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu mengikut kapasiti masjid atau surau dan mesti mengekalkan penjarakan fiizkal satu meter.

“Bagaimanapun solat di luar bangunan masjid dan surau adalah dilarang sama sekali dan kuliah maghrib atau bacaan Yaasin serta tahlil pada hari Khamis malam Jumaat adalah dibenarkan dan hendaklah  dilaksanakan dalam tempoh masa yang sesuai.

“Kerajaan negeri bersetuju memutuskan supaya seramai 500 jemaah dibenarkan menunaikan solat di masjid kerajaan, manakala 250 di masjid kariah serta 75 di surau sepanjang tempoh PKP 2.0,” katanya menerusi kenyataan itu.

Di Pulau Pinang pula, semua masjid dan surau akan dibenarkan melaksanakan solat Jumaat dan fardu bermula hari ini dengan jumlah jemaah hanya seramai 15 orang sahaja yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pelaksanaan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat prosedur operasi standard (SOP), semalam. 

Menurut beliau, bagi solat Jumaat pula dibenarkan diadakan dengan kehadiran jemaah seramai 12 hingga 45 orang berusia 15 hingga 70 tahun termasuk jawatankuasa kariah, pegawai masjid dan siak.

“Bagi solat jenazah yang disahkan tiada jangkitan Covid-19 boleh dilakukan di masjid dan surau dihadkan kepada 20 orang bagaimanapun, ziarah kubur selepas pengebumian selesai masih tidak dibenarkan.

“Kita juga menetapkan ruang solat musafir juga disediakan di masjid dan surau bagi kemudahan pekerja e-hailing, khidmat penghantaran dan seumpamanya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. –Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.