Pemuda UMNO akan pastikan parti tidak berpecah belah

26

27 JAN : Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda UMNO Malaysia akan memastikan parti politik utama di negara ini tidak akan berpecah kepada dua atau tiga kem.

Katanya, pendirian Pemuda UMNO adalah tidak menyebelahi mana-mana pihak sebagaimana yang didakwa pihak tertentu bahawa UMNO kini mempunyai dua kem.

“Pemuda UMNO berpendirian tidak akan menyebelahi mana-mana pihak di dalam UMNO yang didakwa terbahagi kepada dua kem, sebaliknya akan memastikan parti politik utama di Malaysia itu tidak berpecah.

“Kita tidak berada di mana-mana kluster (kem) tetapi Pergerakan Pemuda UMNO, kita membuat penetapan kita sentiasa memastikan institusi parti tidak boleh berpecah dan dilihat berpecah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Minda Profesor Negara: Bicara Anak Muda mengenai “Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita” menerusi laman Facebook rasmi Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator program itu, Felo MPN Dr Muhammad Asri Mohd Ali yang mendakwa wujud dua kem dalam UMNO iaitu ‘Mahkamah’ dan ‘Kabinet’.

Kata Asyraf lagi, Pergerakan Pemuda UMNO, sejak awal lagi sayap itu mengambil pendekatan dan berperanan sebagai semak dan imbang dalam kerajaan hari ini.

“Apabila kita berada dalam kerajaan, sudah tentulah suasananya agak berbeza dan   saya sendira mengambil pendekatan dan pendirian untuk tidak menerima apa juga jawatan kerana pada saya penting dalam tempoh yang ada sebagai mewakili suara anak muda dan suara rakyat.

“Pergerakan Pemuda UMNO mesti sentiasa memainkan peranan sebagai kumpulan pengimbang terutamanya apabila isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat yang perlu disuarakan,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.