NGO sumbang RM420,000 barangan asas kepada mangsa banjir

16

27 JAN : Sumbangan bernilai RM420,000 berbentuk barangan seperti mesin jahit, keperluan harian, sabun pakaian dan barang kegunaan harian lain diagihkan oleh dua badan bukan kerajaan (NGO) kepada mangsa banjir di Pahang, Kelantan dan Johor mulai hari ini.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM), akan menghantar barangan tersebut kepada mangsa-mangsa banjir di ketiga-tiga negeri tersebut.

Timbalan Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon dalam satu kenyataan hari ini berkata, misi itu adalah untuk meringankan beban mangsa banjir di saat negara turut berdepan pandemik COVID-19, selain menyokong usaha kerajaan untuk menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat yang terkesan.

Jelasnya lagi, misi itu bukanlah yang pertama, sebaliknya DPMM telah mula menggerakkan jawatankuasa kebajikan bencana seawal ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Katanya lagi, ketika PKP dilaksanakan pada Mac tahun lalu, DPMM di seluruh negara menggerakkan anggotanya untuk mengagihkan keperluan harian, terutama kepada golongan miskin tegar dan B40 bagi memastikan mereka tidak terpinggir.

“DPMM sekali lagi menggerakkan jawatankuasa sama untuk membantu mangsa bajir kali ini, dan Alhamdulillah, kami menerima sokongan rakan penaja serta agensi kerajaan untuk melaksanakan program berkongsi rezeki dengan golongan yang terkesan dengan banjir

“Sejumlah besar sumbangan diterima daripada sebuah syarikat pengeluar pakaian Muslimah yang menyumbang 4,000 baju kurung bernilai RM320,000 kepada mangsa banjir.

“Kutipan sumbangan turut dilaksanakan menerusi laman sesawang sumbangan.com selama 12 hari bermula 10 Januari lalu, yang berjaya mengumpul RM100,000 daripada orang ramai, usahawan DPMM dan ahli PPIM,” ujarnya.

Kata Norsyahrin, bantuan tersebut akan dilaksanakan menerusi tiga fasa, dan fasa pertama membabitkan kerahan enam lori APM hari ini, bagi membawa barangan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kota Tinggi, Masai, Pasir Gudang dan Skudai di Johor manakala fasa kedua dan ketiga bakal dilaksanakan di Kelantan dan Pahang sebaik agihan di selatan tanah air selesai.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab, berkata inisiatif berkenaan adalah usaha yang baik bagi membantu mangsa banjir dan pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan pihak NGO.

“Kami membantu dari segi logistik dan ini bukan kerjasama baharu kerana kami pernah melaksanakan usaha seumpama ini bagi membantu mangsa bencana.

“Penghantaran akan dibuat kepada Jawatankuasa Bencana Negeri dan akan berhubung dengan peringkat daerah bagi tujuan pengagihan,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.