Nekad tikam tentera Zionis, pemuda mati ditembak

437

27 JAN: Seorang pemuda Palestin yang bertindak nekad cuba menikam dua anggota tentera rejim Zionis Israel mati ditembak dekat Nablus, Tebing Barat semalam.

Memetik laporan AFP, kejadian itu disahkan oleh tentera rejim Zionis dalam satu kenyataan.

Kementerian Kesihatan Palestin turut mengesahkan seorang rakyatnya mati ditembak tentera Israel.

Kejadian berlaku ketika anggota-anggota tentera rejim Zionis Israel terbabit sedang bertugas di sebuah pos kawalan.

“Seorang daripada anggota menghalang cubaan penyerang menikam mereka, manakala komander tentera yang berada di lokasi kejadian menembak ke arah penyerang,” kata tentera rejim Zionis Israel.

Dua anggota tentera rejim Zionis Israel itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Palestinian Information Center melaporkan, kejadian berlaku di kawasan berhampiran penempatan haram Yahudi di Ariel, Salfit.

Setakat ini, tiada maklumat tentang identiti pemuda yang ditembak itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.