Malaysia-Australia ambil langkah bersama tangani impak COVID-19

37

27 JAN: Kerajaan Malaysia dan Australia hari ini bersetuju untuk mengambil beberapa langkah berkesan untuk menangani dan mengurangkan impak negatif daripada penularan COVID-19.

Perkara berkenaan diputuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Australia, Scott John Morrison, dalam mesyuarat tahunan pertama mereka secara maya hari ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata antara yang dicadangkan adalah menjalinkan kerjasama dalam program vaksinasi COVID-19, mengekalkan pasaran terbuka dan bekalan global.

“Khusus berkenaan isu pandemik COVID-19, kedua-dua pemimpin telah bersetuju agar Malaysia dan Australia mengambil beberapa langkah berkesan untuk menangani pandemik tersebut serta mengurangkan impak negatif COVID-19.

“Antara yang dicadangkan adalah menjalinkan kerjasama dalam program vaksinasi COVID-19, memastikan pasaran kekal terbuka dan rantaian bekalan global berfungsi dengan baik bagi menyokong usaha pemulihan ekonomi dan kehidupan masyarakat, serta kerjasama dalam pengurusan rentas sempadan,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media di sini hari ini.’

Dalam mesyuarat berkenaan, Muhyiddin dan rakan sejawatnya dari Australia juga bersetuju menggariskan inisiatif bagi menjayakan Pelan Tindakan bagi menjadi kedua-dua negara sebagai Rakan Kerjasama Komprehensif-Strategik atau CSP.

Katanya, pengumuman CSP antara Malaysia dan Australia pada hari ini adalah tepat pada masanya, sejajar dengan usaha berterusan oleh kedua-dua negara dalam berhadapan dengan situasi serantau dan global yang semakin kompleks dan rumit, termasuk situasi pandemik COVID-19.

“CSP ini membolehkan kedua-dua negara meneroka landskap kerjasama baharu dan sekaligus bergerak maju ke hadapan. Malaysia dan Australia merupakan rakan kerjasama yang akrab,” katanya.

Peningkatan hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia ini amat signifikan dan bersejarah kerana telah mempamerkan satu lagi pencapaian dalam konteks hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.

Katanya, perkara itu juga mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua pihak untuk mengembangkan lagi hubungan sedia ada yang kukuh dalam pelbagai aspek kerjasama hubungan dua hala dan pelbagai hala.

“Dalam hal ini, kedua-dua Perdana Menteri telah meluluskan Pelan Tindakan yang menggariskan inisiatif-inisiatif kukuh di bawah tiga elemen utama CSP iaitu,Kesejahteraan Ekonomi; Masyarakat dan Teknologi; serta Kerjasama Pertahanan dan Keselamatan Serantau. Kedua-dua pemimpin turut menerima pakai satu Kenyataan Bersama bagi mesyuarat tersebut.

“Selain mengukuhkan kerjasama sedia ada, CSP ini turut memberi peluang kepada Malaysia dan Australia untuk menjalin kolaborasi dalam pelbagai bidang baharu,  antaranya, ekonomi digital; pertanian dan sekuriti makanan; pengurusan bencana dan kesihatan awam; kesihatan mental; sains, teknologi dan inovasi (STI); alam sekitar; dan pemerkasaan belia,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.