Larangan masuk Hospital Miri elak risiko jangkitan

15

27 JAN : Hospital Miri menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan tidak membenarkan pelawat untuk masuk ke wad di Hospital Miri berkuatkuasa serta merta berikutan peningkatan kes jangkitan tempatan COVID-19 di bahagian itu sejak kebelakangan ini.

Dalam kenyataan tersebut, Hsopital Miri hanya membenarkan pesakit dijaga oleh satu penjaga sahaja bagaimanapun keberadaan penjaga tersebut di wad tertakluk kepada budi bicara pengurusan wad terlibat.

“Setiap penjaga yang dibenarkan berada di wad dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak pengurusan wad dari semasa ke semasa.

“Keputusan ini diambil bagi melindungi pesakit-pesakit di wad dan para petugas kesihatan daripada risiko jangkitan yang dibawa dari luar,” jelas kenyataan itu lagi.

Selain itu, pihak pengurusan Hospital Miri juga merayu orang awam yang bergejala seperti demam, batuk, kesukaran bernafas, sakit tekak, selesema dan gejala lain serta tinggal di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak mengunjungi hospital berkenaan.

“Hospital Miri memohon orang ramai mengehadkan kunjungan ke Hospital Miri dan menyarankan agar norma baharu terus diamalkan bagi melindungi diri sendiri, keluarga dan komuniti.

“Kerjasama semua pihak pada masa ini adalah amat diperlukan dalam membantu memutuskan rantaian jangkitan pandemik,” katanya.

Hospital Miri merupakan hospital hibrid yang berperanan menguruskan kes positif COVID-19 selain dalam masa sama menyampaikan perkhidmatan perubatan bagi kes klinikal biasa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.