Kementerian Wilayah sedia ladang pertanian bantu gelandangan

44

27 JAN : Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya dalam proses menyediakan ladang pertanian di beberapa kawasan tertentu dalam usaha membantu gelandangan mendapatkan pekerjaan.

Jelas Annuar, perkara tersebut akan dilakukan menerusi program “urban farming” termasuklah menyediakan modul latihan aktiviti pertanian bandar untuk golongan gelandangan yang produktif.

“Saya akan memperkenalkan satu pendekatan baru menerusi projek ‘Urban Farming’ untuk gelandangan.

“Kita telah kenal pasti beberapa kawasan yang agak besar juga dan ia akan dilaksana dalam masa terdekat.

“Saya juga sedang menyediakan penempatan khusus kepada gelandangan produktif dan selepas ini mereka akan dipindahkan dari dewan orang ramai ke tempat tinggal separa kekal dan ia akan berhampiran dengan satu ladang urban farming dan projek tersebut dibuat dengan kerjasama NGO,”ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang media perkembangan semasa Covid-19 dan isu gelandangan di Wilayah Persekutuan secara atas talian.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, sejak pelaksanaan PKP 2.0 lebih 200 gelandangan telah ditempatkan di kawasan selamat.

“Mereka juga telah disaring  Covid-19 secara wajib dan setakat ini daripada jumlah itu tujuh gelandangan dikesan positif dan kini sedang dirawat pihak KKM,”ujarnya.

Tambahnya, sejak  PKP 1.0  hampir 1,000 gelandangan diselamatkan termasuk memberikan pekerjaan.

“Sebahagian mereka kita beri pekerjaan, yang mana terlibat dengan penagihan dadah kita hantar ke pusat pemulihan dan menjalani sesi yang pemulihan cukup baik.

“Ada juga  kita kembalikan mereka ke kampung halaman bersama keluarga dan sebagainya,”katanya.

Annuar turut memaklumkan, baki gelandangan yang masih dilihat sekitar ibu kota ketika ini, berdasarkan hasil pemantuan pihaknya mendapati kebanyakan mereka masih mempunyai tempat tinggal.

“Bukan semua gelandangan, mereka ada tempat tinggal, ada yang menyewa  flat di kawasan sekitar Chow Kit, bila waktu malam mereka turun ke jalanan untuk mendapatkan makanan, sebab mereka tahu orang datang beri makanan percuma,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.