Harap sabar, bayaran BPN 2.0 paling lewat 29 Jan

136

27 JAN: Kementerian Kewangan memberi jaminan bayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) Fasa Kedua, akan dikreditkan ke akaun penerima selewat-lewatnya 29 Januari ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata proses bayaran BPN 2.0 Fasa Kedua yang berjumlah keseluruhannya bernilai RM2.38 bilion memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk dikreditkan kepada semua akaun penerima.

Berikutan itu, Tengku Zafrul meminta supaya penerima bersabar, kerana jumlah bayaran yang besar dan memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk pengkreditan sepenuhnya kepada semua penerima.

“Saya juga ingin berkongsi bahawa dari 21 hingga 24 Januari 2021, sebanyak 6.4 juta akaun sudah dikreditkan dan dari 25 hingga 29 Januari 2021, 3.8 juta akaun sedang atau akan dikreditkan.

“Malah, mulai 25 Januari 2021, kira-kira 750,000 penerima yang tiada akaun bank sudah mula membuat tuntutan tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Semenanjung Malaysia bagi penerima B40 dan M40.

“Kerajaan berharap bantuan yang dipercepatkan ini sedikit sebanyak dapat membantu aliran tunai 11.06 juta penerima bujang dan isi rumah di saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya ketika menjelaskan mengenai kekeliruan timbul mengenai bayaran BPN 2.0 yang mula disalurkan bermula 21 Januari lalu.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan bantuan kewangan lain bagi menangani isu keluhan bahawa Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 yang ditambah baik melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) tidak mencukupi.

“Izinkan saya memberi penjelasan. Peruntukan terkini bagi PSU pada 2021 ialah RM3 bilion. Dengan perluasan skop untuk semua syarikat terjejas PKP, PSU 3.0 akan menerima penambahan peruntukan RM500 juta lagi, menjadikan jumlahnya RM1.5 bilion di bawah PERMAI.

“Ini adalah penambahan kepada RM1.5 bilion yang diumumkan semasa Belanjawan 2021. Ini juga bermakna bahawa program PSU yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi 2020 dan 2021 secara keseluruhannya bernilai RM20.7 bilion,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM3.7 bilion lagi di bawah program penjanaan pekerjaan di bawah Belanjawan 2021 yang baru dimulakan, selain RM3 bilion di bawah PSU 2021.

“Ini merangkumi program insentif pengambilan pekerja bagi majikan dan perniagaan. Saya juga ingin mengingatkan bahawa kadar sewa premis perniagaan MARA diturunkan 30 peratus.

“Manakala, insentif cukai bagi mereka yang memberikan kemudahan sama dilanjutkan kepada semua penyewa perniagaan, berbanding hanya penyewa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebelum ini.

“Banyak lagi bantuan yang boleh dimanfaatkan majikan dan perniagaan. Maklumat lanjut boleh didapati dari portal Belanjawan 2021 di http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/, yang menyenaraikan semua manfaat Belanjawan 2021,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.