Hanya 10 peratus industri tahu amalan ekonomi kitaran

33

27 JAN: Hanya 10 peratus daripada sektor industri di negara ini yang tahu mengenai prinsip atau amalan ekonomi kitaran.

Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Zahid Ismail berkata, kira-kira 44.7 peratus lagi masih berada dalam tahap kesedaran yang rendah.

Berikutan perkembangan itu, beliau memberitahu, MPC sedang membangunkan Penilaian Kelestarian Perniagaan (BSA) sebagai alat untuk membantu syarikat melakukan penilaian kendiri bagi menilai tahap kematangan syarikat dalam penggunaan sumber berkaitan prestasi ekonomi, persekitaran, sosial dan teknologi.

“Kami memerlukan sokongan daripada pemain industri terutamanya daripada sektor pembuatan untuk memberikan maklum balas dan komen apabila dihubungi berkenaan ujian rintis alat BSA,” katanya dalam satu kenyataan.

Amalan ekonomi kitaran merupakan model ekonomi yang bertujuan menghasilkan barangan dan perkhidmatan secara lestari dengan mengurangkan penggunaan dan pembaziran sumber serta penghasilan sisa atau pengeluaran sampah.

Amalan itu turut membawa kepada perubahan sistematik yang membina ketahanan ekonomi bagi jangka panjang, menjana perniagaan baharu dan membuka peluang ekonomi selain turut memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat.

Zahid menambah, sebaik sahaja dimuktamadkan, MPC merancang agar alat BSA dapat dibangunkan secara sistem dalam talian untuk membolehkan ia diakses dengan mudah oleh syarikat.

“Objektif kami adalah untuk membantu syarikat yang mengambil bahagian dalam mengukur tahap amalan kelestarian mereka.

“Di samping itu, penilaian ini membolehkan syarikat mendapat maklumat mengenai amalan kelestarian mereka serta memudahkan syarikat untuk menerbitkan laporan yang menunjukkan komitmen mereka terhadap amalan kelestarian kepada orang ramai,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.