Hamzah dibenarkan pulang setelah terima rawatan rapi

31

27 JAN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas pulih daripada jangkitan COVID-19, petang Ahad lalu.

Beliau turut bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya saya telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan dan pemantauan rapi di PPUM.

“Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada para doktor, jururawat serta barisan petugas hadapan yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang dan layanan mesra tidak mengira penat lelah sepanjang tempoh rawatan saya.

“Kepada semua pihak yang telah bertanya khabar, memberikan kata semangat dan mendoakan kesihatan saya, terima kasih saya ucapkan. Keprihatihan anda semua telah memberikan kekuatan kepada saya untuk terus melawan virus COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hamzah menerima rawatan di PPUM setelah disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 12 Januari lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut turut mengambil kesempatan menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan serta memberikan kerjasama penuh kepada barisan petugas hadapan dan kerajaan dalam usaha untuk memutuskan penularan pandemik COVID-19.

“Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar kita semua diberikan nikmat kesihatan dan sentiasa mendapat perlindungan daripada-Nya,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.