17 MPV Polis kejar suspek disyaki pengedar dadah

62

27 JAN : Sebanyak 17 kereta peronda Polis (MPV) terpaksa digunakan untuk mengejar seorang suspek yang disyaki pengedar dadah yang melarikan diri daripada pihak polis di Kilometer 58 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada semalam.

Dalam kejadian itu 17 MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri, Kulai dan Kluang dan sebuah peronda lebuh raya digunakan untuk mengejar suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain dalam satu kenyataan hari ini berkata, suspek berusia 45 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Altis itu akhirnya berjaya ditahan di susur keluar Simpang Renggam, Kluang kira-kira jam 8 malam.

“Ketika membuat rondaan di Taman Sri Tebrau kira-kira jam 7.15 malam untuk kawalan pergerakan COVID-19, anggota polis melihat sebuah kereta berwarna putih berada dalam keadaan mencurigakan, sebelum mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.

“Namun, suspek bertindak memecut laju melarikan diri ke Jalan Kasa dan keluar ke Lebuhraya EDL dengan memandu secara berbahaya,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Jelasnya, hasil dari pemeriksaan ke atas kereta dinaikinya menemui sejumlah dadah disyaki syabu dan pil ekstasi dianggarkan bernilai RM50,000.

“Semakan juga mendapati kereta itu didaftarkan atas nama syarikat kereta sewa selain suspek turut memiliki rekod jenayah lalu berkaitan dadah,” katanya.

“Suspek direman selama tujuh hari hingga 2 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.